Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang

DARJAH UTAMA PANGKUAN NEGERI ( D.U.P.N. )

Darjah ini adalah darjah yang tertinggi di Pulau Pinang yang dikurniakan kepada individu-individu yang telah berbuat jasa yang amat cemerlang kepada Negeri Pulau Pinang. Mereka yang dikurniakan darjah ini mempunyai kedudukan yang terulung serta berpengaruh. Darjah ini membawa gelaran Dato’ Seri Utama dan isteri penerima digelar Datin Seri. Kurniaan ini dihadkan kepada lima belas (15) orang yang masih hidup.

DARJAH PANGLIMA PANGKUAN NEGERI ( D.P.P.N. )

Darjah Kebesaran ini dizahirkan pada tahun 2003 dan dikurniakan kepada orang-orang perseorangan yang berjasa kepada negeri ini khasnya dan negara amnya dan mempunyai kedudukan tinggi dan dihormati. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ Seri dan isteri penerima digelar Datin Seri. Kurniaan ini dihadkan kepada dua puluh lima (25) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah Kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.

DARJAH GEMILANG PANGKUAN NEGERI ( D.G.P.N. )

Darjah ini dizahirkan pada tahun 1996 dan dikurniakan kepada individu-individu yang menyumbang perkhidmatan yang cemerlang serta mempunyai taraf kedudukan yang tertinggi. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar “Dato’ Seri” dan isteri penerima digelar “Datin Seri”. Kurniaan ini dihadkan kepada seratus (100) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.

DARJAH YANG MULIA PANGKUAN NEGERI ( D.M.P.N. )

Darjah kebesaran ini dizahirkan pada tahun 1967 dan dikurniakan kepada individu-individu yang menyumbang perkhidmatan yang istimewa serta mempunyai taraf kedudukan yang tertinggi. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ dan isterinya Datin. Kurniaan ini dihadkan kepada satu ratus lima puluh (150) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dianugerahkan darjah ini secara Kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi bintang, selepang dan lencana darjah.

DARJAH SETIA PANGKUAN NEGERI ( D.S.P.N. )

Darjah ini dikurniakan kepada individu-individu yang menyumbang perkhidmatan yang istimewa serta mempunyai kedudukan yang tinggi. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ dan isterinya Datin. Kurniaan ini dihadkan kepada lapan ratus (800) orang yang masih hidup.

DARJAH JOHAN NEGERI ( D.J.N. )

Darjah ini dikurniakan kepada individu-individu yang memberi perkhidmatan yang gemilang di dalam apa jua lapangan. Darjah ini dihadkan kepada seribu (1000) orang yang masih hidup.

BINTANG CEMERLANG NEGERI ( B.C.N. )

Bintang ini dizahirkan pada tahun 1996 dan bintang ini dikurniakan kepada penjawat dalam Perkhidmatan Awam yang telah melaksanakan perkhidmatan dengan cemerlang dan perkhidmatan tersebut telah memberi sumbangan terhadap kemajuan, perkembangan dan keselamatan negeri. Bintang ini dihadkan kepada dua ratus lima puluh (250) orang yang masih hidup.

PINGAT GAGAH PERWIRA ( P.G.P. )

Pingat ini dikurniakan kepada individu-individu yang telah menunjukkan keberanian atau kegagahan yang luar biasa tatkala menempuh keadaan yang sangat berbahaya kepada dirinya sendiri. Anugerah boleh juga dikurniakan kepada mereka yang telah meninggal dunia.

PINGAT KELAKUAN TERPUJI ( P.K.T. )

Pingat ini dikurniakan kepada individu-individu yang menunjukkan jasa-jasa yang terpuji ataupun menunjukkan kecekapan di dalam sesuatu lapangan. Orang itu memiliki budi pekerti dan adat resam yang baik dan terpuji.

PINGAT JASA KEBAKTIAN ( P.J.K. )

Pingat ini dikurniakan kepada individu-individu yang telah memberi khidmat bakti yang bernilai atau berjasa atau telah berkhidmat dengan penuh tanggungjawab.

PINGAT JASA MASYARAKAT ( P.J.M. )

Pingat ini dikurniakan kepada individu-individu yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat amnya.

PINGAT BAKTI SETIA ( P.B.S. )

Pingat ini dikurniakan kepada individu-individu di dalam perkhidmatan awam yang telah berkhidmat kepada Kerajaan Negeri selama tidak kurang daripada 25 tahun dan mempunyai budi pekerti yang baik.